Isnin, 12 Disember 2011

SEJARAH PENULISAN ALQURAN



Setiap kali diturunkan ayat, sudah pasti Rasullullah SAW memerintahkan Sahabat-Sahabat seperti Ali bin Abi Talib, Muawiyah bin Abu Sufian, ‘Ubai bin Ka’ab dan Zaid bin Tsabit menulis wahyu tersebut di atas pelepah kurma, batu, kulit atau daun kayu serta potongan tulang belulang binatang dengan berpandukan petunjuk dari Baginda Rasul.

Setelah kewafatan Rasulullah, telah tercetusnya Peperangan Yamamah (12 H) yang menyaksikan seramai tujuh puluh orang Qari’ (penghafal AlQur’an) dari kalangan Sahabat telah gugur syahid.

Bimbangkan akan hilangnya AlQuran maka Saidina Umar bin Khattab mencadangkan kepada Saidina Abu Bakar ( 632H - 634 H) agar AlQuran ini dikumpulkan semula. 


Saidina Abu Bakar yang pada awalnya agak keberatan telah memerintahkan Zaid bin Tsabit mencari serta mengumpulkan AlQuran dan dijadikan di dalam satu mushaf.

Mushaf tersebut disimpan oleh Saidina Abu Bakar sebelum diserahkan kepada Saidina Umar dan Saidatina Hafsah anak Saidina Umar.


PENULISAN SEMULA ALQURAN

Semasa Saidina Uthman bin Affan dilantik menjadi Khalifah pada tahun 25 H, pengaruh Islam telah berkembang luas hingga ke Afrika Utara di barat dan Azerbaijan di timur.

Ramai orang yang bukan Arab telah memeluk Islam dan beberapa orang Sahabat telah dihantar ke tempat-tempat tertentu untuk mengajar saudara-saudara baru ini akan AlQur’an.

Dalam pada itu wujud perbezaan bacaan antara seorang guru dengan guru yang lain. Bagi orang-orang Syam, mereka membaca mengikut bacaan Abdullah bin Mas’ud manakala orang-orang Iraq pula, mereka membaca mengikut bacaan Abu Musa al-Ash’ary



Keadaan ini hampir-hampir menyebabkan berlaku perbalahan di antara saudara -saudara baru Islam.

Seorang Sahabat bernama Huzaifah bin Yaman yang turut serta dalam peperangan di Armenia dan Azerbaijan telah menceritakan keadaan ini kepada 
Khalifah Uthman bin Affan.


Saidina Uthman memerintahkan Zaid bin Tsabit, Abdullah bin Zubair, Sa’id bin Ash dan Abdul Rahman bin Haritth menulis semula AlQuran dan memperbanyakannya. 


Dari mushaf-mushaf tersebut, satu salinan disimpan di Madinah dan yang lain dikirimkan di berbagai pusat islam seperti Kufah, Basrah, Damsyiq dan Mekkah

Syiah menolak Mushaf Uthmani.

Namun begitu Puak Syiah telah menolak Mushaf Uthmani dengan alasan bahawa Saidina Uthman telah mengabaikan beberapa ayat yang mengagungkan Saidina Ali.

Dakwaan ini sama sekali tidak berasas kerana ketika Mushaf ini diakui, tiada persengketaan atau permusuhan antara Saidina Uthman dengan Saidina Ali. Saidina Ali sendiri telah memerintahkan supaya menyebarkan naskah itu sebanyak-banyaknya.

Dari hasil usaha para sahabat Rasulullah seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, Zaid bin Tsabit dan sebagainya maka kita berpeluang membaca dan mengambil pelajaran apa-apa yang terkandung di dalam AlQur’an. 


Amat malanglah bagi kita jika kita tidak menjadikan AlQur’an ini sebagai panduan hidup serta cahaya yang menerangi kegelapan. Semoga kita dapat menfaatkan segala usaha dan pengorbanan sahabat-sahabat nabi ini dalam mencari, mengumpul dan menyelaraskan bacaan AlQur’an