Sabtu, 12 Disember 2009

10 MUHARAM DI DALAM ISLAM


10 Muharam atau dikenali sebagai Hari Asyura merupakan satu-satunya hari yang teristimewa dan penting di dalam islam

Banyak peristiwa yang bersejarah telah berlaku pada hari tersebut.

Said bin Jubair dari Ibnu Abbas r.a berkata:  " Ketika Nabi saw baru berhijrah ke Madinah, maka mereka dapati kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam). Maka mereka pun bertanya kepada kaum Yahudi tentang puasa mereka itu. Mereka ( orang Yahudi ) menjawab, " Hari ini Allah memenangkan Musa dan Bani Israel terhadap Firaun dan kaumnya, maka kami berpuasa sebagai mengagungkan hari ini ". Maka sabda Nabi saw: " Kami lebih layak mengikuti jejak langkah Musa dari kamu."  Maka Nabi saw pun menyuruh para sahabat agar berpuasa ".

Selain daripada peristiwa diatas, banyak lagi peristiwa bersejarah yang lain yang berlaku pada 10 Muharam antaranya
• Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
• Nabi Idris diangkat Allah ke langit.
• Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari bahteranya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
• Nabi Ibrahim diselamatkan Allah daripada dibakar Raja Namrud.
• Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
• Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara
• Allah memulihkan penglihatan Nabi Yaakob.
• Nabi Isa diangkat ke langit.
• Nabi Ayub dipulihkan Allah daripada penyakit kulitnya
• Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan nun, selepas berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
• Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya daripada tentera Firaun.
• Allah mengampunkan kesalahan Nabi Daud.
• Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
• Hari pertama Allah mencipta alam.
• Hari pertama Allah menurunkan rahmat.
• Hari pertama Allah menurunkan hujan.
• Allah menjadikan Arasy.
• Allah menjadikan Luh Mahfuz.
• Allah menjadikan Malaikat Jibril.
• Puasa Sunat Asyura 10 Muharam

Hadis-hadis mengenai puasa sunat 10 Muharam:

قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِيْنَةَ فَرَأَى الْيَهُوْدَ تَصُوْمُ يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ ، فَقَالَ : مَا هَذَا؟ قَالُوْا : هَذَا يَوْمٌ صَالِحُ ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللهُ بَنِيْ إِسْرِائِيْلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَ مُوْسَى ، قَالَ : فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوْسَى مِنْكُمْ ، فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Ketika Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam datang ke Madinah, maka baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa di hari Asyura, lalu baginda bertanya: hari apakah ini? Mereka menjawab: Ini adalah hari yang baik, hari dimana Allah menyelamatkan Bani Israil dari musuh mereka, lalu Musa berpuasa pada hari itu. Baginda bersabda: Aku lebih berhak terhadap puasa Musa dari kamu sekalian. Maka baginda berpuasa dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa”. (Hadis Riwayat Bukhari (2004) dan Muslim (1130))

Pada mulanya puasa Asyura adalah termasuk puasa yang fardu, namun setelah diwajibkan (disyariatkan) puasa Ramadan, maka puasa Asyura menjadi sunat sebagaimana penjelasan dari hadis berikut:

كَانَ يَوْمُ عَاشُوْرَاءَ يَوْمًا تَصُوْمُهُ قُرَيْشٌ فِى الْجَاهِلِيَّةِ وَكَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُوْمُهُ فِى الْجَاهِلِيَّةِ . فَلَمَّا قَدِمَ الْمَدِيْنَةَ صَامَهُ وَاَمَرَ النَّاسَ بِصِيَامِهِ . فَلَمَّا فُرِضَ رَمَضَانُ تَرَكَ يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ قَالَ : فَمَنْ شَاءَ صَامَهُ وَمَنْ شَاءَ تَرَكَهُ

“Orang-orang Quraisy zaman Jahiliyah berpuasa pada hari Asyura dan Rasulullah juga berpuasa pada hari Asyura di zaman Jahiliyah. Setelah baginda sampai ke Madinah, maka baginda berpuasa pada hari tersebut dan menyuruh orang ramai berpuasa. Maka setelah puasa bulan Ramadan diwajibkan baginda meninggalkan puasa Asyura, baginda bersabda: Barangsiapa yang mahu, berpuasalah dan barangsiapa yang mahu berbuka tinggalkan puasa”. (Muttafaq ‘alaihi. Bukhari (2002) Muslim (1125))

Berdasarkan kepada hadith di atas, Imam Syafi’e mengatakan bahawa hukum berpuasa pada 10 Muharam ( puasa Asyura ) ini adalah sunat yang sangat-sangat dituntut.

10 Muharram pada pandangan Syiah

Bagi masyarakat Syiah khususnya di ibu kota Teheran, Iran; Karbala di Iraq; Lucknow, India dan Nabatiye, selatan Lebanon, Hari Asyura adalah hari mereka berdukacita.

Setiap tahun bermula dari 1 Muharam sampailah kepada 10 Muharam dan berlanjutan selama 40 hari (Arbaen),penganut-penganut Syi'ah akan mengadakan upacara pengkabungan kononnya sebagai tanda memperingati kematian Imam Husain bin Ali yang terbunuh di Karbala  pada tanggal 10 Muharram tahun 61 Hijrah.

Mereka akan mengadakan pelbagai upacara seperti menampar-nampar muka dan dada, menyiksa diri dengan melukakan tubuh serta kepala dengan pisau-pisau kecil bahkan ada yang menggunakan pedang sehingga tubuh dibasahi darah.

Di samping itu seorang dari kalangan mereka yang di gelari dengan nama "Zakir Husain" akan mengumandangkan syair-syair ratapan menceritakan penderitaan Ahlul Bait Rasulullah s.a.w. dan kezaliman yang dilakukan terhadap mereka diselangi dengan caci maki terhadap Bani Umayyah dan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang dianggap mereka sebagai perampas hak Ahlul Bait.

Bagi Ahlus Sunnah sepakat mengatakan bahawa amalan tersebut merupakan amalan jahiliyyah dan diharamkan berdasarkan kepada hadis daripada Rasulullah s.a.w. daripada Ibnu Mas'ud r.a. bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda, "Bukan dari kalangan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak kolar baju dan menyeru dengan seruan jahiliyyah."(Sahih Bukhari Kitabul Janaaiz dan Muslim Kitabul Iman).