12 Disember 2011

SEJARAH PENURUNAN ALQURAN

Setiap kali ada ayat yang diturunkan, sudah pasti Rasullullah SAW memerintahkan sahabat-sahabat seperti Ali bin Abi Thalib, Muawiyah bin Abu Sufian, ‘Ubai bin K’ab dan Zaid bin Tsabit radhiallah anhum menulis akan wahyu tersebut.
Dengan berpandukan petunjuk dari Rasulullah s.a.w. mereka menulisnya di atas pelepah kurma, batu, kulit atau daun kayu, serta potongan tulang belulang binatang.

Semasa pemerintahan Saidina Abu Bakar telah tercetusnya Peperangan Yamamah. Peperangan yang berlaku pada tahun 12 H menyaksikan seramai tujuh puluh orang Qari’ (penghafal Al-Qur’an) dari kalangan sahabat telah gugur syahid.

Bimbangkan akan hilangnya AlQuran maka Saidina Umar bin Khattob mencadangkan kepada Saidina Abu Bakar agar AlQuran ini dikumpulkan semula. Saidina Abu Bakar telah memerintahkan Za’id bin Tsabit mencari serta mengumpulkan AlQur’an dan dijadikan di dalam satu mushaf.

Setelah siap, Mushaf tersebut disimpan oleh Saidina Abu Bakar sehinggalah beliau wafat, kemudian ianya diserahkan kepada Saidina Umar dan seterusnya kepada Saidatina Hafsah anak Saidina Umar.

Sebab al-Qur’an Ditulis Semula

Semasa Sayyidina Uthman bin Affan menjadi Khalifah pada tahun 25 H, pengaruh Islam telah berkembang luas. Islam telah sampai ke Afrika Utara di barat dan hingga ke Azarbaijan di timur. Ramai orang yang bukan Arab telah memeluk Islam dan beberapa orang sahabat telah dihantar ke tempat-tempat tertentu untuk mengajar saudara-saudara baru ini akan al-Qur’an.

Bacaan antara seorang guru dengan guru yang lain adalah berbeza. Contohnya bagi orang-orang Syam, mereka membaca mengikut bacaan Abdullah bin Mas’ud manakala orang-orang Iraq pula, mereka membaca mengikut bacaan Abu Musa al-Ash’ary. Keadaan ini hampir-hampir menyebabkan berlaku permusuhan dan persengketaan di antara saudara -saudara baru Islam.

Seorang sahabat bernama Huzaifah bin al-Yaman yang bersama-sama dengan orang Syam dan Iraq dalam peperangan di Armenia dan Azarbaijan melihat sendiri keadaan itu. Sekembalinya ke Madinah, beliau terus pergi berjumpa Khalifah Uthman bin Affan dan menceritakan hal tersebut.

Kemudian Saidina Uthman memerintahkan Zaid bin Tsabit, Abdullah bin Zubair, Sa’id bin Ash, dan Abdurrahman bin Harits untuk menuliskannya kembali dan memperbanyaknya. Dari mushaf-mushaf tersebut satu salinan disimpan di Madinah dan yang lain dikirimkan di berbagai pusat islam seperti kota Kuffah, Bashroh, Damsyiq, dan Mekkah

Mushaf yang ditulis atas perintah Saidina Uthman pada mulanya tidak memiliki harakat dan tanda titik. Keadaan ini telah menimbulkan kesulitan kepada pembaca dikalangan orang bukan arab yang memeluk islam. Untuk itu maka Ubaidillah bin Ziyad dan Hajjaj bin Yusuf telah meletakkan alif sebagai pengganti dari huruf yang dibuang seperti kalimah (اقلَتْ) di ganti menjadi (قَالَتْ), dan sebagainya.

Adapun Abu Al Aswad, Yahya bin Ya’mar dan Nasr bin Ashim adalah orang yang pertama yang meletakkan tanda titik pada mushaf Uthmani manakala Al Khalil bin Ahmad adalah orang yang pertama meletakkan tanda hamzah, tasydid, ar-raum, al-isymam.

Syiah menolak Mushaf Uthmani.

Namun begitu Puak Syiah telah menolak Mushaf Uthmani dengan alasan bahawa Saidina Uthman telah mengabaikan beberapa ayat yang mengagungkan Saidina Ali.

Dakwaan ini sama sekali tidak berasas kerana ketika Mushaf ini diakui, tiada persengketaan atau permusuhan antara Saidina Uthman dengan Saidina Ali. Saidina Ali sendiri telah memerintahkan supaya menyebarkan naskah itu sebanyak-banyaknya.

Dari hasil usaha para sahabat Rasulullah seperti Saidina AbuBakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, Zaid bin Tsabit dan sebagainya maka kita berpeluang membaca dan mengambil pelajaran apa-apa yang terkandung di dalam AlQur’an. Amat malanglah bagi kita jika kita tidak menjadikan AlQur’an ini sebagai panduan hidup serta cahaya yang menerangi kegelapan. Semoga kita dapat menfaatkan segala usaha dan pengorbanan sahabat-sahabat nabi ini dalam mencari, mengumpul dan menyelaraskan bacaan AlQur’an

Tiada ulasan: