08 Mac 2011

RASULULLAH - NABI YANG UMMI

Tanggal 12 Rabiul Awal telah mencatat satu sejarah- satu tarikh agung diingati umat islam seluruh dunia Pada tarikh inilah lahirnya seorang pemimpin agong, nabi serta rasul yang menjadi rahmat bagi sekelian alam.


Pelbagai aktiviti seperti perarakan serta ceramah diadakan di mana-mana sahaja. Kecintaan kita terhadap nabi pada hari itu jelas terserlah.

Selain mendapat jolokan "Al Amin" ( yang amanah ) dan "Khatamul Anbiyai wal Mursalin" ( Penghulu para Nabi- nabi dan Rasul-rasul ), Rasulullah juga digelar di dalam AlQur'an sebagai النبي الأمي - "Nabi yang Ummiy " sebagaimana firman Allah dalam Surah Al 'araf ayat 157 dan 158


  
Maksudnya
"(Yaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka,nabi yang menyuruh mereka mengerjakan yang ma'ruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya. memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya."


"Katakanlah: "Hai manusia sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua, yaitu Allah Yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Yang menghidupkan dan mematikan, maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah dia, supaya kamu mendapat petunjuk."

Surah Al "araf ayat 157 &158


Kalimah Ummiy dalam bahasa Arab bermaksud "buta huruf" atau ringkasnya golongan yang tidak tahu menulis dan membaca.Itu terjemahan rambang dari sudut bahasa namun begitu cuba kita tanya pada diri kita pula apakah nabi kita ini benar-benar buta huruf ? dan bagaimana pula keimanan kita terhadap sifat Fathonah ( Bijaksana ) iaitu salah satu daripada sifat-sifat yang wajib bagi Rasul.

Sahabat-sahabat sekelian, pujian serta selawat yang kita ucapkan pada setiap hari samada di dalam  mahupun di luar solat  tidak akan bermakna seandainya kita terus menerus menggelar nabi yang kita sanjung ini dengan gelaran buta huruf dan seharusnya gelaran seumpama ini tidak akan wujud pada mana-mana nabi mahupun rasul, tidak kiralah samada ianya Nabi Isa as, Nabi Musa as, Nabi Solih as mahupun Nabi Muhammad saw..


Yang anehnya gelaran buta huruf hanya ada pada Rasulullah saw sahaja iaitu ketua kepada segala nabi dan rasul. Tidak masuk akal sama sekali bahawa penghulu kepada segala nabi itu seorang yang buta huruf sedangkan nabi-nabi yang lain sebelum Baginda adalah bijak-bijak belaka.

Di sini kita dah nampak ada agenda tertentu dari ahli kitab dan golongan yang enggan beriman dengan risalah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Ianya merupakan salah satu propaganda Yahudi untuk menyekat dan menghapuskan agama islam sebagaimana tindakan kaum kafir Quraisy Mekah menggelar Baginda dengan gelaran gila dan tukang sihir. 



Kalimah Ummiy dimulakan dengan huruf alif dan Lam ta'rif  yang berperanan untuk mengkhususkan sesuatu perkara. Katakan diatas meja terdapat banyak buku. Seandainya saya katakan " Tolong ambilkan saya buku" maka orang yang diminta tolong boleh mengambil mana- mana buku sahaja kerana lafaz buku itu umum. Seandainya saya berkata " Tolong ambilkan saya buku itu" maka orang diminta tolong perlu mengambil buku- buku yang telah ditentukan sahaja kerana lafaz buku ini adalah lafaz khusus.


Kalimah Ummiy pada surah Al A'raf ayat 157 dan 158  ini terdapat alif dan Lam dipermulaan perkataan yang membawa maksud khusus iaitu " Nabi yang Ummiy itu". Dalam hal ini  makna Ummiy kita kena rujuk terjemahannya kepada empunya kalam ( Allah ) kerana lafaz kalam itu adalah khusus.


Maksud Ummiy yang sebenarnya

Firman Allah dalam surah Al Ankabut ayat 48


Maksudnya
Dan kamu tidak pernah membaca sebelumnya (Al Quran) sesuatu Kitab pun dan kamu tidak (pernah) menulis suatu Kitab dengan tangan kananmu; andaikata (kamu pernah membaca dan menulis), benar-benar ragulah orang yang mengingkari(mu).

Dalam ayat ini Allah menerangkan maksud ummiy adalah tidak pernah membaca kitab-kitab terdahulu sebelum AlQuran dan Rasulullah tidak pernah menulis dengan tangan kanannya. Seandainya Rasulullah pernah berbuat demikian ( membaca dan menulis kitab-kitab terdahulu ) maka orang-orang Yahudi akan mengatakan bahawa AlQuran yang dibawa oleh Rasulullah ini adalah ciplak dari kitab- kitab Taurat, Zabur dan Injil. 


Lihatlah betapa bijaknya mereka cuba memutarbelitkan kalimah Al Ummiy sebagaimana mereka pernah memutarbelitkan kitab - kitab Taurat, Injil dan Zabur . Firman Allah  dalam surah An Nisa' ayat 46
Maksudnya
"Daripada orang orang Yahudi itu mereka suka memutarbelitkan kalam allah dari tempatnya dan mereka berkata kami dengar dan kami engkar"

Tidak penah membaca bukan beerti seseorang itu buta huruf. Sekarang kita tanya pada diri kita berapa ramaikah diantara kita yang pernah membaca kitab Taurat, Injil dan Zabur dan setujukah anda seandainya orang yang tidak pernah membaca dan menulis kitab-kitab yang diturunkan sebelum AlQuran ini digelar sebagai Buta Huruf.


Kalau begitu tak guna kita belajar tinggi tinggi sampai ambil phd tapi kita masih digelar buta huruf  hanya kerana tidak pernah membaca kitab-kitab sebelum AlQuran.

Dalam surah Ali Imran ayat 20, umat manusia dalam agama samawi terbahagi kepada dua iaitu golongan yang didatangkan alkitab ( iaitu kitab-kitab sebelum AlQuran ) dan Al Ummiyin sebagaimana firman Allah.


maksudnya
"Seandainya mereka membantahimu maka katakanlah maka katakanlah: "Aku menyerahkan diriku kepada Allah dan (demikian pula) orang-orang yang mengikutiku." Dan katakanlah kepada orang-orang yang telah diberi Al Kitab dan orang-orang yang ummi "Apakah telah Islam kamu ". Jika telah Islam mereka , sesungguhnya mereka telah mendapat petunjuk, dan jika mereka berpaling, maka kewajiban kamu hanyalah menyampaikan (ayat-ayat Allah). Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya".  Surah Ali Imran  ayat 20

Orang- orang yang diberikan Al Kitab adalah merujuk kepada orang Yahudi dan Kristian yang berasal daripada keturunan Nabi Ishak a.s dan Nabi Yaakob a.s. Golongan yang lebih dikenali sebagai Bani Israil ini telah diturunkan kepada mereka kitab- kitab sebelum AlQuran iaitu kitab Taurat ( Nabi Musa a.s ), kitab Zabur ( Nabi Daud a.s ) dan kitab Injil ( Nabi Isa a.s ).

Adapun golaongan AlUmmiyyin adalah golongan yang tidak pernah didatangkan AlKitab iaitu  lawan kepada golongan yang didatangkan Alkitab. Mereka ini adalah daripada keturunan Nabi Ismail a.s. yang salsilahnya terus kepada Nabi Muhammad s.a.w serta umat islam seperti kita yang tidak pernah menerima, memegang apatah lagi membaca kitab - kitab terdahulu sebelum AlQuran seperti Taurat, Injil dan Zabur .

Seandainya Al Ummiyyin ini bermaksud golongan yang Buta huruf mengapakah Allah tidak namakan golongan dari Bani Israil ini sebagai golongan yang bijak tetapi sebaliknya Allah gelarkan mereka sebagai golongan yang telah didatangan AlKitab.

Jelas sekali dalil yang kedua ini menafikan maksud Al Ummiyyin ini sebagai golongan Buta huruf dan di sini telah menampakkan kepada kita niat jahat bangsa Yahudi ini untuk memperbodohkan  umat  yang Allah sifatkan didalam AlQuran sebagai sebaik baik umat ( Khaira Ummah ).

Kesimpulan daripada perbincangan ini bahawa kalimah AL UMMIY dalan surah Al 'Araf  ayat 157  dan 158 ini maknanya bukanlah Buta Huruf . Kita sebagai umat yang menyayangi Rasulullah harus berwaspada dan tidak terpedaya dengan propaganda yang sengaja ditimbulkan dengan maksud jahat meminta agar kita menghina rasul kita sendiri dan menolak segala ajarannya.

Akhir sekali kita kena ingat bahawa Rasulullah itu adalah contoh ikutan yang baik kepada orang-orang beriman. Seorang pemimpin yang menjadi contoh ikutan yang baik sudah tentu sunyi daripada sifat kekurangan. Bukankah sifat " Buta Huruf dan bodoh @ Jahlun " itu adalah sifat yang mengurangi ketokohan seseorang nabi dan ianya jelas bertentangan dengan sifat Fathonah (Bijaksana) yang dimiliki oleh setiap nabi-nabi dan rasul- rasul Allah.
Wallahu 'alam

Tiada ulasan: