31 Oktober 2010

HAJI IFRAD, TAMATTUK DAN QIRAN




Hari ini dah masuk 24 Zulkaedah , lebih kurang 16 hari lagi umat Islam akan memyambut kedatangan Aidil Adha. Pada masa ini sudah tentulah umat islam dari seluruh dunia telah berkumpul dan membanjiri dua tanah suci iaitu Mekah dan Madinah untuk menyempurnakan ibadat haji, umrah dan ziarah.

Bercakap tentang haji haji ini saya rasa ramai yang tidak tahu perbezaan antara Haji Ifrad, Haji Tamattuk dan Haji Qiran. Ada  yang menganggap bahawa Haji Tamattuk lebih mudah dan tak banyak pantang larang. Bagi mereka yang nak berjimat pula akan berkata " Haji Ifrad, Ifradlah - janji tak kena dam oklah".


Pengertian Haji Ifrad 

Haji Ifrad adalah mengerjakan haji dahulu kemudian baru mengerjakan umrah. Ini bermakna ibadah umrah dilakukan selepas selesai mengerjakan ibadah haji. 

Pengertian Haji  Tamattuk  

Haji Tamattuk adalah mengerjakan umrah terlebih dahulu dalam bulan haji sebelum menunaikan haji . Dalam erti kata lain seseorang itu mengerjakan umrah pada bulan haji sebelum wukuf di Arafah. Haji cara ini dikenakan dam.  

Pengertian Haji  Qiran


Haji Qiran pula ialah mengerjakan haji dan umrah sekaligus atau pendek kata "dua dalam satu " itulah haji dan itulah umrah. Haji cara ini juga dikenakan dam.

    Sahabat sahabat sekelian, Sesungguhnya Islam adalah agama yang syumul, sesuai untuk semua peringkat usia dan apa jua situasi yang berlaku. Dalam ibadah haji kelapangan seseorang itu dengan yang lain adalah tidak sama. 

    Ada di antara mereka mempunyai kesempatan untuk mengerjakan umrah selepas mengerjakan haji. Dengan kelapangan masa ini, mereka tidak perlu terburu buru mengerjakan umrah sebelum mengerjakan haji.Untuk mereka ini adalah haji Ifrad  

    Bagi mereka yang tidak sempat mengerjakan umrah selepas mengerjakan haji dan masanya untuk mengerjakan umrah hanyalah sebelum mengerjakan haji maka pilihan terbaik bagi mereka adalah haji Tamattuk.   

    Adapun dalam kes terkepung , terkandas atau terhalang mengerjakan umrah (seperti datangnya haidh atau ditimpa kemalangan) sebelum hari wukuf sedangkan ianya tidak mempunyai kesempatan mengerjakan umrah selepas mengerjakan haji maka tiada pilihan lain bagi mereka melainkan Haji Qiran.
      Sehubungan dengan itu untuk kes pertama dan kedua , para jemaah haji boleh merancang mengikut jadual perjalanan masing masing.

      Untuk kes ketiga adalah bagi situasi semasa yang datang diluar jangkaan kita maka Haji Qiran adalah jalan keluarnya. Atau dengan lain perkataan Haji Qiran adalah ibadah haji bagi mereka yang tidak mempunyai kesempatan megerjakan umrah sebelum dan sesudah mengerjakan haji.

      Dari apa yang diperkatakan dapatlah kita simpulkan di sini bahawa Haji Ifrad, Haji Tamattuk dan Haji Qiran adalah manasik atau kaedah yang hendak digunakan semasa menunaikan ibadah haji. Para jemaah haji hendaklah merancang terlebih dahulu cara macam mana yang hendak digunakan.

      Ibaratkan kita nak ke Kota Bharu, Kelantan, selain daripada mengikut Gua Musang, kita boleh melalui Lebuhraya Pantai Timur di Terengganu ataupun Lebuhraya Timur Barat di Perak.

      Sebaik-baik ibadah haji adalah Haji Ifrad kerana ianya tidak mencampur adukkan antara haji dengan umrah. Dalam Haji Ifrad, kita melepaskan / menunaikan ibadat haji terlebih dahulu. Setelah selesai barulah kita menumpukan ibadah kita kepada ibadah umrah  

      Namun begitu bagi mereka yang tidak berkesempatan atau tidak berpeluang melakukannya ( Haji Ifrad ) maka pilihan yang terbaik baginya adalah Haji Tamattuk ataupun Haji Qiran. 


      والله أعلم

      Tiada ulasan: