01 Januari 2010

PERJUMPAAN PERKASA


Perjumpaan bekas Pelajar Al Ulum telah berlalu hampir dua minggu . Sabtu,19hb. Disember 2009, itulah satu tarikh bersejarah yang telah berjaya mengumpulkan kembali bekas-pelajar al- Ulum dari pelbagai latar belakang pekerjaan
Kalau dahulu perjumpaan ini atas nama PERMATA ( Persatuan Murid Tua Al Ulum ) tapi pertemuan pada kali ini atas nama PERKASA ( Persatuan Khirrijin Al Ulum As Syari'iyyah ) setelah PERMATA telah dibatalkan penubuhannya oleh ROS.

Mesyuarat yang diadakan pada 10hb. November 2009 di rumah Cikgu Munirah ( anak perempuan kepada Dato' Haji Hassan Adli ) sebulat suara telah bersetuju untuk menggunakan nama PERKASA sebagai nama baru bagi persatuan .

Turun sahaja dari bas, terpukau seketika dengan perubahan besar yang berlaku di al Ulum. Rasa gembira teramat sangat dapat berjumpa kembali sahabat-sahabat lama yang terpisah sekian lama seperti Saudara Roslan, Ustaz Abu Bukhari dan lain-lain.

Dalam suasana ceria terpalit sekelumit memori duka al Ulum. Secara sedar atau tidak tahun 1998 merupakan tarikh akhir bagi pengajian aliran Thanawi di al Ulum. Kini kelas seperti Satu Thanawi telah tiada lagi dan juga tiada lagi empat Thanawi yang melayakkan pelajar-pelajarnya menyambungkan pengajian ke Mesir.

Sekolah menengah arab yang ditubuhkan pada tahun 1937 kini telah dikendalikan oleh Kerajaan Negeri Perak di bawah program Sekolah Agama Bantuan Kerajaan ( SABK ). Melaului program ini ramai guru dari aliran Thanawi seperti Ustaz Sabaruddin, Ustaz Kasim telah ditamatkan perkhidmatannya.

Kemelut kewangan yang melanda al Ulum telah memaksa Cikgu Munirah selaku pemegang amanah akur dengan tawaran yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri.

Bersempena dengan sambutan Maal Hijrah maka pada sebelah malamnya telah diadakan satu forum agama di Masjid Al Aziziah Batu 20 Bagan Pasir. Ustaz Norazli Musa, Ustaz Mustafa Sha'ari dan Ustaz Khairul Anuar adalah antara bekas pelajar al Ulum yang diundang dalam forum ini.

Selesai majlis, saya berangkat ke Kuala Kangsar dan bermalam di rumah Saudara Wasis bin Ismail. Pada keesokan harinya sebelum bertolak ke Kuala Lumpur, saya telah dibawa bersiar-siar ke satu destinasi pelancongan yang bernama Raban.

Jam 10.00 pagi saya meninggalkan Bandar diraja Kuala Kangsar. Oleh kerana tiket bagi semua perjalanan 20hb. Disember 2009 ke Kuala Lumpur telah habis dijual maka saya terpaksa ke Ipoh terlebih dahulu bagi meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur

Sila klik di sini untuk melihat gambar

Tiada ulasan: